Sunday, 17 December 2017

AMALAN BERPANTANG TRADISI MELAYU

Setiap ibu yang melalui proses melahirkan anak, kemudiannya akan melalui fasa berpantang selama 44 – 100 hari. Amalan ini adalah bertujuan untuk mengembalikan kesihatan ibu selepas bersalin. Masyarakat Melayu percaya bahawa wanita yang benar-benar mengikuti amalan berpantang tradisional Melayu akan mendapatkan semula bentuk badan sebelum bersalin, tahap kesihatan dan kecerdasan yang baik serta rupa paras yang menawan.



Hari ini, ramai ibu muda di kawasan bandar dalam masyarakat Melayu mendapati mereka tidak dapat mematuhi keseluruhan amalan berpantang tradisional. Secara tradisinya, ibu muda moden kini berpantang dan dibantu oleh :
  • Bidan kampung
  • Penjaga khas (Confinement Lady) atau Juruterapi Urut Professional
  • Ibu atau ibu mertua
  • Berpantang sendiri (dengan bantuan suami)


AMALAN BERPANTANG 

Berikut adalah sedikit ringkasan berkenaan amalan berpantang tradisional Melayu :

1. Mandi Herba atau Mandi Serom



Ibu selepas bersalin digalakkan untuk mandi serom atau mandi air rebusan herba terpilih. Ia dipercayai dapat membantu menghangatkan tubuh ibu, menyingkirkan angin dalam tubuh serta mengembalikan kesegaran tubuh. Khasiat-khasiat yag terkandung dalam herba dipercayai dan diyakini boleh membantu proses penyembuhan ibu.



2. Urutan Seluruh Badan



Ibu selepas bersalin memerlukan rehat yang secukupnya. Urutan badan dapat membantu ibu agar dapat berehat dengan tenang dan boleh mengembalikan tubuh yang segar dengan terapi urutan. Urutan selepas bersalin dapat membantu ibu melegakan kesakitan urat dan otot yang tegang, melegakan stress serta menggalakkan pengeluaran susu ibu.



3.  Bertungku



Amalan bertungku yang dilakukan selepas bersalin dapat membantu ibu mengeluarkan lebihan lendiran, darah nifas dan membantu mengecutkan rahim. Bertungku batu sungai dilakukan dengan gabungan dedaunan herba dan rempah ratus dapat membantu memecahkan angin serta boleh mengembalikan bentuk badan ibu.



4.  Tapel dan Berbengkung.



Tapel atau juga disebut sebagai ubat barut diletakkan di sekitar perut (elakkan bahagian jahitan jika bersalin secara pembedahan) dan kemudiannya dibalut dengan bengkung agar dapat mengembalikan kedudukan rahim selepas melahirkan dan membentuk tubuh ibu agar kembali mantap.




5.  Param Badan.



Berparam dapat membantu menghangatkan tubuh ibu. Ia juga boleh mencerahkan kulit ibu selepas bersalin. Semasa kehamilan, tubuh ibu mengalami proses perubahan warna kulit dan tompokan kulit gelap. Param badan juga membantu menghaluskan kulit ibu sekaligus rasa hangat daripada param dapat membantu melancarkan peredaran darah.



6. Pilis Dahi



Pilis adalah gabungan ramuan rempah untuk dibuat sapuan pada dahi ibu. Tujuannya adalah untuk mengurangkan rasa pening dan pitam. Rasa berangin pilis membantu melegakan kepala dan meringankan stress ibu.



7. Sapuan Minyak



Ibu dalam tempoh berpantang digalakkan untuk menyapu minyak herba ke bahagian badan, contohnya seperti sapuan minyak pada kaki sebelum menyarungkan stoking. Elakkan minyak yang mengandungi mineral, menthol dan camphor kerana tidak bersesuaian untuk ibu.



8. Sengkak



Sengkak peranakan adalah bertujuan untuk mengembalikan kedudukan rahim setelah  saiz rahim mengecut. Sengkak hanya dilakukan SELEPAS tempoh berpantang iaitu paling kurang hari ke 45 ke atas.
Awas jika tukang urut anda menawarkan sengkak di awal pantang !



9. Bertangas



Amalan bertangas membantu menguatkan otot faraj dan membantu mengeluarkan lebihan lendiran. Adalah digalakkan untuk melakukan Senaman Kagel sewaktu bertangas. Tangas ada tangas kering dan tangas basah, paling awal dilakukan setelah hari ke-20 dalam pantang.


Tempoh berpantang adalah suatu tempoh jangka masa bagi seorang wanita untuk berehat sepenuhnya agar kembali pulih malah lebih sihat daripada sediakala untuk kembali bekerja dan kembali menjalani kehidupan sebagai seorang SUPERWOMAN !

No comments:

Post a Comment